Masyarakat pada
hari ini bersikap materialistik sehingga amalan hidup bermasyarakat seperti
bergotong-royong terpinggir. Bincangkan halangan-halangan amalan
bergotong-royong dan langkah-langkah untuk menarik minat masyarakat untuk
bergotong-royong.
Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.
Pada era globalisasi ini, masyarakat terdorong untuk mengutamakan kekayaan dan kekuasaan dalam mengejar arus kemodenan perdana kerana taraf hidup yang semakin meningkat. Masyarakat sanggup bekerja keras siang dan malam untuk mengumpul kekayaan sehingga terabai nilai-nilai murni yang pernah menjadi amalan masyarakat pada suatu ketika dahulu. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana masalah ini boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk menyemarakkan kembali aktiviti bergotong-royong. Malangnya, usaha tersebut tidak mendapat sambutan daripada masyarakat sendiri. Jika ditinjau dengan mendalam, masyarakat menghadapi beberapa halangan untuk menghadiri aktiviti-aktiviti bermasyarakat khususnya amalan bergotong-royong.
Antara halangan yang dihadapi oleh masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti bergotong-royong ialah kehidupan masyarakat yang sibuk berkerjaya. Masyarakat pada hari ini lebih moden berbanding dahulu seiring dengan peredaran zaman. Masyarakat yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur khususnya berfikiran lebih terbuka dan bersifat materialistik. Masyarakat menilai dari segi penampilan luaran dan mengamalkan sikap ‘bagai enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’. Seseorang itu dinilai dari segi jenama pakaian, jenis kereta, jenis rumah, jawatan dalam pekerjaan dan tahap pengaruh dalam bidang masing-masing.
Sehubungan dengan
itu, masyarakat berlumba-lumba membanting tulang mengumpul kekuasaan untuk
mengukuhkan kedudukan masing-masing. Akibat daripada budaya pemikiran tersebut,
kebanyakan masyarakat yang tinggal di kota raya mempunyai karier yang sibuk
kerana rata-rata menjawat pekerjaan yang profesional seperti ahli perniagaan,
peguam dan akauntan. Selain itu, bukan kaum lelaki sahaja yang keluar mencari
nafkah bahkan kaum wanita turut ikut serta. Taraf kaum wanita dikatakan
‘berdiri sama tinggi duduk sama rendah’ dengan kaum lelaki dalam alam kerjaya.
Ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita diberi kepercayaan untuk menjawat
pangkat yang tinggi dalam sesebuah firma besar. Lantaran itu, rutin harian
banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Kesan daripada itu,
walaupun kegiatan bergotong-royong diadakan di tempat kediaman masing-masing
tetapi amalan bergotong-royong tiada sambutan kerana masing-masing tiada di
rumah. Malang lagi, ada yang langsung tidak mengambil peduli persekitaran
sehingga tidak mengetahui adanya kegiatan bergotong-royong ini. Oleh itu, kita
dapat simpulkan bahawa kesibukan dalam kerjaya menjadi penghalang kepada amalan
bergotng-royong.
Institusi rukun tetangga yang tidak berfungsi juga merupakan salah satu daripada halangan kepada amalan bergotong-royong. Institusi rukun tetangga ditubuhkan untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan kawasan kediaman akan tetapi kemudahan ini tidak digunakan sebaiknya.
Pada suatu ketika
dahulu, institusi rukun tetangga bergerak secara aktif yang diketuai oleh
penghulu kampung. Organisasi ini juga melibatkan golongan pemuda-pemudi selain
daripada golongan yang lebih tua. Secara tidak langsung, golongan muda dapat
bekerjasama dan mengeratkan silaturrahim dengan golongan tua seperti yang
diuar-uarkan dalam kempen di televisyen iaitu ‘yang tua dihormati yang muda
disayangi’. Pada setiap malam, penghulu akan mengadakan mesyuarat di balai raya
untuk membincangkan keselamatan dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan.
Melalui itu, amalan seperti
bergotong-royong dapat dijalankan dan masyarakat juga berpeluang untuk bergaul
mesra. Apabila zaman telah berubah, kehidupan masyarakat juga mengalami anjakan
paradigma. Kini, organisasi ini hampir tidak bergerak lagi kerana tiada pelapis
untuk mengendalikannya. Orang muda sibuk berkerjaya sehingga ke luar negara
kerana tawaran pendapatan yang lumayan. Ini memberi gambaran awal kepada kita
bahawa golongan muda lebih memandang ganjaran untuk melakukan sesuatu. Oleh
itu, mereka tidak berminat mengendalikan institusi rukun tetangga yang tidak
memberi pulangan hasil. Sebagai hasilnya, keruntuhan institusi rukun tetangga
memberi pengaruh yang besar kepada amalan bergotong-royong.
Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh
masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan
berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan
dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik
perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya
ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai
rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan
kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat
penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen,
radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara
meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’
merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak
langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom
ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan
kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di
sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana
masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga
kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan
juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan
sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.
Bak kata pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya’. Oleh itu, untuk
memastikan masyarakat pada generasi akan datang agar tidak ketandusan nilai
ini, langkah seperti penerapan dalam pendidikan di sekolah wajar dilaksanakan
untuk menyemai amalan ini dari peringkat awal lagi. Dalam pendidikan, amalan
ini dapat ditanam melalui mata pelajaran seperti pendidikan moral dan sivik
kewarganegaraan. Melalui mata pelajaran tersebut, pelajar didedahkan dengan kepentingan
nilai-nilai murni dan mengaplikasikan nilai tersebut dalam kehidupan. Guru
memberi pendedahan dan penerangan tentang nilai-nilai murni tersebut dan
menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekatkan para pelajar dengan amalan
nilai-nilai murni. Selain itu, sekolah juga memain peranan penting untuk
menggalakkan pelajar supaya bergotong-royong. Pada hari yang tertentu seperti
Hari Guru, Hari Sukan dan pekhemahan pasukan beruniform, sekolah menetapkan
pelajar dan guru untuk bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Secara
tidak langsung, para pelajar dipupuk amalan ini sejak dari bangku sekolah dan
akan diteruskan sehingga dewasa dalam komuniti masyarakat. Oleh yang
sedemikian, langkah menerapkan nilai ini dalam pendidikan oleh kerajaan harus
dipuji.
Langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah
penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh
turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan
gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat
bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung
tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat
lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan
kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat
menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan
komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh
kerajaan untuk mempergiat amalan ini.
Secara tuntasnya,
amalan bergotong-royong ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat
sehingga kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menghidupkan kembali
amalan tersebut. Kerajaan boleh mengguna kaedah yang lain dan lebih kreatif
untuk memikat masyarakat. Jika amalan ini terus terkubur, masyarakat akan hidup
dalam keadaan tidak aman dan sengsara. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus
bermula dari sekarang untuk mengubah diri agar amalan ini dipraktikkan sehingga
akan datang dan dianggap amalan yang ‘tak basah dek hujan, tak lekang dek
panas’. Sebagai penutup wacana, marilah kita belajar amalan yang baik ini dan
mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan
teladan,yang buruk dijadikan sempadan’
No comments:
Post a Comment